01 June 2011

Pakar Pun Boleh Silap

Saya ingin ceritakan kepada anda perihal seorang sahabat kecil saya bernama Adam.

Adam berumur sebelas tahun dan suka menikmati sarapan pagi di kantin sekolah. Di situlah saya sering menemuinya. Gerak-gerinya perlahan tetapi serius apabila makan. Dia begitu berhati-hati supaya cebisan makanan tidak berselerak jatuh ke ribanya. Saya pernah menghadiahkan kepada Adam senaskhah buku Horrible Science: Blood, Bones and Body Bits, sebuah buku yang menjadi kegemaran anak-anak saya. Inilah catatan yang saya lakarkan di dalam lipatan kulit muka buku tersebut:

Adam,

Kata ibu, Adam ingin menjadi seorang doktor. Dalam buku ini, Adam akan menemui pelbagai rahsia badan manusia. Kata ibu juga, Adam sangat suka membaca sehingga semua buku yang Adam baca halamannya terlipat di sana sini... Moga-moga buku ini turut mendapat layanan yang sama! Saya harap Adam bakal menjadi seorang doktor yang hebat suatu hari nanti.

Dua hari kemudian, saya terserempak dengannya di pintu pagar sekolah. "Kamu masih membaca buku baru?" Saya bertanya.

"Saya sudah habis membacanya," katanya selamba. Dia membetulkan kedudukan cermin mata berbingkai gelap yang senget sedikit di atas hidungnya.

"Dah habis baca?" Terperanjat saya mendengar jawapannya. Apa tidaknya. Buku tersebut tebalnya hampir tiga suku inci dan tulisannya agak kecil. Saya sangka dia pasti memerlukan beberapa hari lagi untuk menghabiskannya, maklumlah, ia masih belum hujung minggu. Tetapi dengan ketekunan yang dimiliki Adam, apa yang hendak dihairankan!

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Promosi RM5 selama sebulan!

Ketika Adam dalam kandungan, ibunya, Puan Alina, menghidapi jangkitan pada tiga bulan pertama. Jangkitan itu menjejaskan otak bayi yang sedang pesat berkembang.

"Sehari selepas dia mencecah usia setahun, saya dan suami saya pergi berjumpa dengan seorang pakar pediatrik di sebuah klinik swasta," Puan Alina menceritakan kepada saya. "Kami diberitahu bahawa Adam menghidapi 'kematangan lewat'. Pakar pediatrik tersebut memandang tepat ke muka kami dan mengatakan bahawa anak lelaki kami tidak akan membesar secara normal. Saya terkejut besar. Perasaan saya ketika itu seperti dijatuhkan hukuman mati. Setibanya di rumah, saya memberitahu suami saya, 'Kita mesti buktikan yang pakar itu silap.'"

Untuk beberapa tahun selepas itu, Puan Alina tinggal di rumah dan meluangkan masa bersama Adam setiap hari dengan penuh kesabaran. Dia mengajar Adam mengenali setiap huruf di dalam abjad satu demi satu. Dia juga mengajak Adam berbual dan cuba menjawab setiap soalannya. Apabila Adam berusia enam tahun, Puan Alina membawa Adam untuk satu lagi pemeriksaan kesihatan, kali ini di hospital kerajaan. Pakar pediatrik yang memeriksanya begitu terperanjat dan kagum apabila mendapati bahawa Adam boleh membaca sebaik kanak-kanak berumur enam tahun yang lain.

Alina mengakui bahawa dengan Adam, segala-galanya memerlukan lebih banyak masa. Ketika berusia lima tahun, Adam mengambil masa tiga bulan untuk membaca bukunya yang pertama. "Adik lelakinya hanya memerlukan masa dua minggu untuk membaca buku yang sama," kata Puan Alina yang mempunyai tiga anak yang lain. "Tetapi saya menyedari bahawa daya ingatannya bagus. Dia boleh mengingati peristiwa yang berlaku ketika umurnya hanya dua setengah tahun. Dia boleh imbas kembali tempat-tempat yang kami lawati serta aktiviti-aktiviti yang kami sekeluarga lakukan pada usia semuda itu. Daya ingatan saya pun tidak sekuat itu!"

DUNIA YANG TERSENDIRI

Saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak yang menghidapi kecacatan serius. Kebanyakan daripada kanak-kanak ini menderita akibat palsi serebrum (sejenis kecacatan otak) dan memerlukan penjagaan teliti sepenuh masa. Lingkungan umur kanak-kanak ini di antara dua hingga lapan belas tahun. Sebilangan daripada mereka menghidapi sawan yang boleh menyerang pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Lantaran kecacatan yang begitu serius, kebanyakan kanak-kanak ini hanya berupaya terlantar di atas tilam di atas lantai. Di situlah mereka berguling dan berpusing dengan bantuan pengasuh. Mereka yang mengalami kecederaan otak yang paling teruk hanya mampu baring di tempat yang sama mereka diletakkan.

Beberapa orang kanak-kanak di situ kesihatannya agak lebih baik daripada yang lain. Setiap hari, seorang guru akan datang untuk mengajar mereka membaca, menulis, menyanyi dan bermain alat muzik. Di satu bahagian dinding, guru tersebut dengan bangganya telah menampal dan mempamerkan hasil kerja tangan mereka dan menulis nama semua kanak-kanak itu. Katanya, "Kerja tangan mereka mewakili semua kanak-kanak yang dijaga di sini."

Kamal yang berumur 16 tahun adalah seorang remaja yang boleh dikatakan lebih berupaya berbanding yang lain. Dia bergerak dengan menarik dan menolak badannya. Bahagian bawah badannya tidak berfungsi dan perlu diheret ke mana sahaja dia ingin pergi. Apabila saya bertanya kepada guru tersebut mengenai Kamal, dia berkata, "Saya telah mengajar Kamal menambah dan menolak sejak beberapa tahun lalu. Tetapi dia masih belum melepasi nombor dua digit."

Suatu hari, saya melihat Kamal duduk senget di atas sebuah kerusi. Dia menggenggam sebatang pensil dan berusaha keras untuk cuba mengira hasilnya apabila 21 ditolak 13. Mata kirinya berfungsi lebih baik daripada yang sebelah kanan. Oleh itu, dia sering mengiringkan kepalanya supaya mata kirinya lebih hampir dengan hujung pensil dan kertas. Kamal bersifat mudah mesra dan saya sering melihatnya menegur dan berbual dengan sukarelawan-sukarelawan yang lain.

Jika anda tidak biasa dengan kanak-kanak yang menghidapi kecacatan serius, melawat tempat sebegini akan mengguris perasaan. Suasana di tempat ini jauh berbeza dengan dunia luar di mana kanak-kanak boleh berlari bebas, bergelak ketawa dan sentiasa menjadi sumber keriuhan dan keceriaan. Di tempat ini, Kamal ibarat permata. Celotehnya yang ramah mesra membuatkan semua orang berasa lebih selesa. Namun keupayaan Kamal istimewa dan tidak dimiliki kanak-kanak lain yang dihantar ke sini. Bagi kanak-kanak yang lain, palsi serebrum menyebabkan mereka tidak berupaya bercakap untuk menyuarakan keinginan mereka. Beberapa jam bersama mereka sudah memadai untuk anda menyelami keperitan dan jurang komunikasi yang diharungi sesiapa sahaja yang mengasuh mereka.

PENULIS "MY LEFT FOOT"

Begitulah getirrnya hidup anak-anak yang mengalami palsi serebrum. Anda mungkin menyangka tiada apa yang boleh dicapai oleh mereka. Tetapi tidak lama dulu seorang anak lelaki yang dilahirkan dengan palsi serebrum berjaya memenangi pertandingan lukisan kanak-kanak pada usia 12 tahun. Dia seterusnya mencipta sejarah sebagai penulis, penyajak dan pelukis yang tersohor.

Ketika dia masih bayi, doktor memberitahu ibu bapanya bahawa masa depannya gelap kerana teruknya kecacatan otak yang dialaminya. Tetapi ibunya membantah. Katanya, "Hanya badan anak saya yang tidak berfungsi, bukan mindanya." Anak lelaki ini tidak boleh mengawal percakapan mahupun pergerakan tubuhnya. Satu-satunya bahagian badan yang dapat digerakkannya sendiri ialah kaki kirinya. Suatu hari, dengan kaki inilah dia mencapai sebatang kapur dan menconteng lantai. Sejak hari itulah, ibunya berazam untuk mula melatihnya membaca dan menulis.

Anak lelaki yang saya maksudkan itu ialah Christy Brown. Saban hari, ibunya mengajarnya membaca dan menulis. Prosesnya memang amat sukar dan memeritkan. Namun sepanjang hidupnya Christy Brown telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku, sajak dan lukisan serta memenangi hati ramai orang, hanya dengan menggunakan kaki kirinya. Bukunya yang termasyhur berjudul "My Left Foot" memuatkan kisah hidupnya sendiri.

Sebagai seorang penulis, saya sering terkenang kisah Christy Brown apabila saya meragui kebolehan saya. Christy Brown tidak dilahirkan di dalam keluarga yang kaya. Ayahnya merupakan seorang penurap bata manakala ibunya pula seorang suri rumah. Mereka berdua bersusah payah untuk membesarkan 13 orang anak yang mana Christy merupakan anak keenam. Ramai daripada mereka yang sebaya dengan Christy dilahirkan sempurna dan dibesarkan di dalam keluarga yang menjalani kehidupan yang lebih selesa. Namun, Christy jelas meraih pencapaian yang jauh lebih hebat daripada mereka!

LELAKI BUTA DAN GUNUNG EVEREST

Tahukah anda kisah Erik Weihenmayer? Semasa dilahirkan, Erik cukup sifatnya. Kehidupannya berubah apabila dia diserang sejenis penyakit mata yang tidak dapat dipulihkan. Akibatnya, dia menjadi buta pada umur 13 tahun. Pada mulanya, Erik merasa begitu kecewa. Bapa Erik, Ed Weihenmayer, mencabar Erik untuk menyoal dirinya sendiri tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh orang buta. Bapanya menghantar Erik ke sekolah mendaki batu bagi orang-orang cacat penglihatan. Di situlah Erik mempelajari sesuatu yang lebih bernilai daripada sekadar mendaki batu. Dia mula merenung dan memikirkan mengenai pelbagai perkara. Kata Erik:

"Pada mulanya saya menyangka saya tidak boleh membaca tetapi rupa-rupanya saya boleh. Saya menyangka saya tidak dapat bergerak bebas tetapi rupa-rupanya saya boleh. Ini bermakna, mungkin ada banyak lagi perkara lain yang saya sangka saya tidak boleh lakukan tetapi sebenarnya boleh saya lakukan, asalkan saya mengambil pendekatan yang berbeza."

Erik menyedari bahawa selagi dia terikat dengan perasaan sedih dan menyesali apa yang menimpa dirinya, tidak mungkin dia dapat merobah keadaan. Dia memutuskan untuk mengubah sikapnya. Dia hanya akan menumpukan perhatian kepada apa yang boleh dilakukannya dan tidak sebaliknya.

Hasilnya, ketika di sekolah menengah, Erik dinobatkan sebagai kapten pasukan gusti sekolah. Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan sebagai guru sekolah. Pada usia 33 tahun, Erik mencipta sejarah sebagai orang cacat penglihatan yang pertama berjaya mendaki puncak Gunung Everest. Bagaimana dia berjaya melakukannya? Dalam perkataannya sendiri – "Langkah demi langkah, saat demi saat." Hari ini, selain berjaya menawan puncak tertinggi di dunia, Erik adalah seorang penulis dan pakar motivasi. Apa yang boleh dicapai oleh anak lelaki yang bermotivasi tinggi memang menakjubkan.

Apakah persamaan yang dikongsi oleh Adam, Erik dan Christy?

Kesemua mereka mempunyai ibu bapa yang yakin dengan kebolehan mereka. Ibu bapa mereka akur dengan kelemahan diri mereka tetapi tetap mengharapkan mereka untuk membuat sehabis baik – yang terbaik yang dapat mereka lakukan.

Yang menariknya, ibu bapa mereka bukanlah "pakar" di dalam membesarkan anak lelaki, apatah lagi anak lelaki yang istimewa. Mereka semua adalah orang biasa seperti anda dan saya. Namun begitu, ibu bapa mereka menyedari:

dengan anak lelaki, anda harus lebih menekankan usaha berbanding bakat dan kebolehannya dengan anak lelaki, anda perlu meletakkan harapan yang tinggi anak lelaki sukakan cabaran.

FIKIRKANLAH: Apakah yang akan anda lakukan jika anda mempunyai anak lelaki seperti Adam, Erik atau Christy?

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis
Jamilah Samian adalah seorang Trainer Profesional Terlatih (CPT) yang ditauliahkan oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga merupakan Neuro Linguistic Programming (NLP) Practitioner berdaftar dengan American Board of NLP. Jamilah adalah penulis buku IBU KOOL BAPA HEBAT, ANAK LELAKI KOOL DAN HEBAT dan THE GROOVY GUIDE TO PARENTING GEN Y AND Z. Layari laman web beliau di http://coolmumsuperdad.com

18 March 2011

[Teater] Cintaku Milik Siapa?


Umar dan Aidil merupakan sahabat baik. Umar mempunyai perwatakan yang agak sosial serta berfikiran terbuka manakala Aidil merupakan remaja yang berpegang teguh pada agama Islam.

Walaupun sikap mereka berdua jauh berbeza namun mereka saling menghormati antara satu sama lain. Akan tetapi isu cinta atau mencari pasangan hidup telah membawa konflik kepada mereka berdua.

Pada suatu petang sedang, Umar bergaduh dengan teman wanitanya di sebuah taman. Kebetulan, Aidil sedang berkelah bersama isteri dan anaknya di situ. Aidil sempat mengajak Umar untuk menghadiri program Maulidur Rasul di surau lama di kawasan tempat mereka tinggal dan membesar dahulu.

Bagaimanapun, Umar menolak kerana ingin meraikan hari Valentine di Bukit Bintang. Namun akhirnya Umar telah mengubah keputusannya, dan pergi ke sebuah surau lama yang diberitahu oleh Aidil.

Sesampai di sana, Umar mendapati surau itu kosong. Tiada seorangpun di sana. Kerana terlalu penat, Umar tertidur.

Tiba-tiba, Umar merasakan dirinya berada di suatu tempat yang cukup asing baginya. Kelihatan sekumpulan orang dengan pakaian berjubah, dengan badan yang gagah perkasa sedang bersedia untuk berperang. Mereka meninggalkan anak dan isteri, kata mereka demi cinta kepada Islam, mereka sanggup berbuat apa sahaja.

Sah! Umar berada di zaman Arab Jahiliyah!

Di zaman ini, Umar mengenali Zubaidah, seorang wanita yang bersifat penuh lemah-lembut dan sopan santun, yang pada masa yang sama telah menarik hati Umar. Namun, Umar harus pulang ke zamannya..

15 March 2011

Bahaya bercouple..saper yg bercoupling. .......BACA! !!!!!!!!! !!!!!

apa perkara yg ber'manfaat' drpd ber'couple':

1) seronok (dpt fitnah)

2) seronok (dpt dosa)

3) seronok (dpt geng dgn syaitan)

4) dpt meluahkan masalah..(Allah kan ada)

5) byk habis duit (lebih baik guna utk sedekah) , tak kurang juga yg habiskan duit beli prepaid dan bayar bil telefon yg melambung..

6) byk risau (takut awek kita org lain kebas.. berapa kali dah miss solat pasal dok asyik berdating tak pulak risau..)

7)byk termenung dan senyum sendiri (pasal ingat peristiwa riang dgn awek.. kita sbg muslim patutnya byk mengingatkan MATI yg boleh dtg bila2 masa..)

8) lebih mengutamakan awek drpd org lain (hidup dlm dunia sendiri, dia dan awek dia.. lain dah tak kisah..)

9) menepati masa dan janji (takut awek marah/sakit hati.. solat fardhu lewat tak takut pulak... )

10) lain2 lg yg memberikan faedah dlm menambah saham DOSA drpd PAHALA..

hasil drpd pengalaman/pemerhat ian/analisa/ kajian terdapat beberapa sebab yg menyebabkan PENDORONG mengapa ber'couple' terjadi;

1) byk sek./pusat pengajian i.e. perempuan dan lelaki satu kelas tanpa ada usaha drpd pihak yg bertanggungjawab utk mengawal pencampuran ini supaya tidak bercanggah dhn syarak.

2) perkara ini sudah jadi kebiasaan maka didapati ada pendapat (tak tahu le dalil mana dia guna) mengatakan tak apa ber'couple' asalkan tak melanggar batas2 syarak.. nauzubillah. . pd pendapat mereka keluar buat date kat khalayak ramai, bukannya berduaan di tempat sunyi tak pegang tangan, jln pun tak rapat2 dan si awek tu pula pakai tudung... so tak pe la.. dosa pun sikit jer.. nanti dah kahwin settle dan taubat le.. saya bab ni yg payah nak jawab.. ada je alasan dia org utk melepaskan diri. org kata kalu dah nak buat tu memang mcm2 helah. kita nasihat kot sini dia corner kot lain. byk bersabar aje le dan teruskan usaha kita insyaAllah lama2 dia sedar le..

3) sudah menjadi naluru manusia ingin dibelai dan dikasih, maka sebab itu Allah jadikan lelaki dan perempuan ada tarikan mcm cas +ve dan -ve. hasil drpd didikan/pentarbiyah an islam yg tidak kukuh dr keluarga menyebabkan attraction between the charge can't be control to act in a much more appropriate manner.. maka terjadinya perhubungan (kawan2) sblm ada ikatan yg sah, dan ada setgh ibubapa dgn selamba kata "tak pe le.. dia org dah besor.. dah remaja, dah pandai fikir mana baik dan yg buruk .. bior le" . betul juga kata ibu bapa tersebut, patutnya kita dah besor, tahu le menilai yg mana baik dan buruk.. tapi tanggungjawab kedua ibubapa mendidik anak pun tak boleh diabaikan...

4) bertambahnya perempuan yg tidak menutup aurat, kalau tutup aurat pun aurat lain tak dijaga i.e. cara bergaul, bercakap.. maka ini membuka ruang pd lelaki2 utk memulakan projek mereka.. tak percaya pergi lepak (bukan lepak mcm Mat Lepakian.. lepak dgt tujuan utk mengambil iktibar..) kat KL (kat sini mcm2 jenis org boleh jumpa..) ada yg elok tutup aurat tapi bila bersembang.. tu dia, ketawa kalah lelaki.. lepas tu pandai cubit2 dan pukul2 pula tu.., lelaki apa lagi.. ada chance ni..

5) ramai perempuan semakin berani.. berani menghadapi cabaran utk jadi setanding dgn lelaki maka mereka pun goda le lelaki so dpt byk boyfriend.. mcm Mat Cintan dan Mat Bunga yg byk dpt awek..

6) ramai lelaki rasa bangga kalau ada awek, kalau tak ada awek maka mcm ada satu kekosongan dlm jiwa ... lebih2 lg kalau tgk member2 lain dia ada awek. faktor sekeliling memperngaruhu suasana.

7) lelaki cuba nak tunjuk pd lelaki lain yg dia tu pakar dlm bab tackle/meng' ayat' awek .. lelaki ni biasa le EGO.. ego tak kena tempat...

8) haaa... ni paling memalukan kaum lelaki.. lelaki ni cepat sgt PERASAN so dia pun naik semangat kacau awek. mula2 perasan yg awek tu minat kat dia (padahal tak minat pun), end up awek tu minat betul2.. ye le dah usaha sikit punya susah nak meng'ayat'/meng' tackle', awek tu pun accept le mat tu. ada juga awek yg manja (dah memang fitrah wanita begitu) sikit bila nak minta tolong maka lelaki akan terperasan yg awek tu minat kat dia maka akan try meng'ayat'. maka dianjurkan pd kaum hawa agar tidak menonjolkan sifat kemanjaan anda pada tempat yg tak kena. pd kaum adam pula, jgn le dok perasan cepat sgt..

9) ada kaitan dgn fakta ke-8... perempuan cepat sangat kesian bila tgk lelaki bersusah-payah utk dia. tolong nie tolong tu, tolong buat assingment ke sbg contoh. bila lelaki yg dok tolong tu 'ayat' sikit jer dgn mudah perempuan tersebut termakan kata2 manis lelaki tersebut.. yg lelaki tu pula tolong tak ikhlas, tu yg jadi mcm tu...

10) fakta yg ke-10 ni cukup sensitif pasal mereka (lelaki) ber'awek' disebabkan niat mereka cukup ikhlas dan jujur. tujuannya ialah utk kenal antara satu sama lain dan memahami satu sama lain.. ada ngam ke tak ngam ke sebelum berjanji utk hidup semati...

alhamdulillah niat bagus... tapi niat tak boleh menghalalkan cara, yg haram akan tetap haram, sbgmana hadis Rasulullah yg bermaksud:
Drpd Abu Abdullah Al-Nu'man bin Basyir ra :sabda Rasulullah S.A.W "sesungguhnya yg halal itu nyata dan yg haram itu pun nyata dan di antara keduanya ada perkara yg kesamaran, yg tidak diketahui oleh kebykkan manusia, maka brgsiapa yg memelihara (dirinya dr) segala yg kesamaran, sesungguhnya ia memuliakan bgnya agamanya dan kehormatannya. .. " (Mutfaq'alaih)

1-sesunguhnya perjumpaan (keluar) antara kaum adam dan hawa itu salah melainkan ditemani mahramnya... .

2-cintailah pasangan anda kerana Allah dgn cinta yang berlandaskan keimanan dan bukannya kerana hawa nafsu...

Nauzubillahi min zalik...
Wallahu'alam. .. .

sumber:
http://nahdahmuslim.blogspot.com/2010/05/bahaya-bercouplesaper-yg-bercoupling.html#ixzz1GYTbDmcv

12 March 2011

Cinta Aku Pada Si Dia

Cinta itu buatkan
Cinta utamaku lemah
Cinta aku pada si dia
Buatkan cinta aku pada Tuhan
Allah Yang Maha Esa
Buatkan cintaku pada Rasulullah
Kekasih Yang Maha Kuasa
Buatkan cintaku pada agama
Islam yang gah agung
Buatkan cinta aku pada iman
Nur yang sentiasa terang
Seakan-akan goyah
Umpama meniti jambatan rapuh
Yang kalau-kalau ditiup angin kencang
Rebah sujud sia-sia ke bumi


Cinta aku pada si dia
Mencalar kotor pada pahalaku
Bertambah erat pula
Pegangan si dosa-dosa
Cintaku pada si dia
Buatkan jiwaku resah
Bernanah dengan maksiat
Zina mata, zina hati
Buat aku terus-terusan gelisah
Melihat pasangan lain
Melayari bahtera durjana
Yang kononnya indah
Walhal aku tahu
Halal haramnya…
Meskipun aku tahu
Baik buruknya…
Sungguhpun aku tahu
Azab dan siksanya…

Bukankah cintaku aku pada si dia
Harus bawaku dekat
Ke kota pujaanku…syurga
Bukankah cinta aku pada si dia
Harus jauhkan aku sejauh-jauhnya
Dari neraka yang pedih azabnya

Jadi…
Mana mungkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah cinta bisikan Allah
Mana mugkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah cinta yang bisa buatkan aku
Bahagia dunia akhiratnya

Mana mungkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah suci, tulus dan perawan

Aku muhasabah nilai cinta ini
Sebak dada, kusut jiwa
Menitis air mata seorang hamba derhaka
Mengenangkan betapa murahnya nilai cinta ini
Hinanya cinta ini disisi tuhan

Cinta yang aku dambakan
Cinta aku pada si dia
Tiada apa-apa erti buat tuhan
Hanya lumpur noda mengundang murka…

Rupa-rupanya
Cinta aku pada si dia
Tidak layak menggapai rahmat
Tidak layak menjemput berkat
Dan tidak akan pernah mengundang keredhaan

Maafkan aku Ya Allah
Maafkan aku untuk ada rasa
Cinta aku pada si dia
Yang tidak ada nilai di mata mu Tuhan

Ya Allah
Jodohku ditanganmu
Kalau benar
Cinta aku pada si dia
Hanya menambah timbunan dosa
Aku mohon ampun Ya Allah

Doaku…
Harapanku…
Pintaku dengan harap…
Harap dengan sangat…
Penuh rendah diri sebagai hambamu
Kurniakan aku masjid yang sempurna
Dengan jodoh yang baik-baik
Penuhi pertemuan dan perpisahannya
Dengan iman, nur dan rahmatmu…
Biar jodohku itu…
Buatkan aku dekat padamu Ya Allah
Biar jodohku itu…
Buatkan syurga nanti jadi naungan untukku
Biar jodohku itu…
Buatkan aku lebih mencintaimu
Lebih dari segalanya Ya Tuhan…
Ya Allah…Amin…


Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran


Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.

Hah. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.

Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.

Ujian Allah = Kasih Sayang-Nya
Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya. Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.

Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.

Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.

Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu.

Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.


Sabar : Orang-orang Yang Hebat

Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.

Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.

Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.

Pesanan buat diri saya sendiri. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.

Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang melalui pandangan rahmat-Nya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, Insyaallah.

Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.

Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihempas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.

Kita Semua Adalah Pejuang

Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah, perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah.

Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak. Semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa.

Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.


Pejuang Hidup Kerana Berjuang!

Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuangan. Seorang pejuang tidak boleh berputus asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.

Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang di jalan perjuangan ini.

Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu. Aku wajib! Kerana, aku hanya mendambakan redha Allah. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga.

Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~


Semoga Allah merahmati.



Sumber Dari:
www.iluvislam.com
Oleh : Ya Habibi
Editor : doraemong13

Put Yourself In Other's Shoes


Bismillah...

Maksud firman Allah SWT :

" Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..."
(al-Hujurat : 12)

Imam Fakhruddin ar-Razi menghuraikan pula dalam Tafsir ar-Razi apa yang disebut dengan sangkaan berdasarkan ayat di atas dengan berkata :

" Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh-sungguh memastikan kebenarannya) dan penyelidikan yang dalam "

Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam, dengan limpah dan rahmat serta izinNya bumi beredar, mentari bersinar, bintang begermelapan, bulan bercahaya, dan manusia meneruskan kehidupan. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, dengan nurnya alam diterangi, manusia disuluh kebenaran.

Seorang lelaki dari New York diajak untuk menghadiri satu majlis makan-makan oleh rakan Koreanya sempena satu majlis. Pabila dihidangkan dengan makanan yang pelbagai, bermangkuk-mangkuk dan berpinggan-pinggan, sehingga dia tidak tahu apa yang perlu dimakan dahulu, bahkan tanpa mengetahui apakah jenis makanan itu, ia hanya meminum air dan meminta diri untuk pulang. Setelah pulang, ia mengkhabarkan dan merungut kepada rakan-rakan yang lain bahawa makanan Korea langsung tidak sedap, tidak berkhasiat dan sangat celaru serta menyusahkan!

Jika diperhatikan, apakah kesilapan terbesar lelaki New York tersebut?...

Ya, ia tidak mahu menjadi dan meletakkan dirinya dalam masyarakat Korea itu, tanpa menyiasat dan bertanya, ia terus menghukum, sedangkan ia langsung tidak mengetahui bagaimana dan apakah keadaan yang sebenarnya.

Jika ia sudi meletakkan dan menyesuaikan dirinya dengan masyarakat Korea, maka ia akan mengetahui bahawa makanan-makanan itu tidaklah secelaru sebagaimana ia fikirkan, ia mempunyai peraturan dan cara makan yang tersendiri. Bahkan makanan Korea telah diakui secara saintifiknya ia adalah antara makanan kesihatan yang terbaik di dunia. Selain bahan bahannya, ia menitik beratkan seni penyediaan, prinsip asas iaitu lima warna, merah, hijau, kuning, putih dan hitam menjadi perkara yang perlu ada bagi setiap hidangan. Jika ia mengkaji lagi, makanan Korea menjadi berjenis-jenis itu adalah kerana sejarah seorang maharajanya yang terlalu teliti dalam soal makanan, maka tukang masak istana menyediakan makanan sedemikian rupa.

Sekarang, jika ia mengetahui betapa istimewanya makanan tersebut, adakah ia akan melepaskan peluang untuk mencuba? Adakah ia akan merungut? Atau adakah ia akan terus berasa jengkel?...

Qurra' yang dikasihi,

Hidup kita di dunia bukan seorang diri, bahkan dijadikan Allah berbilang bangsa untuk saling mengenali. Hakikat kehidupan, setiap hari kita akan berhadapan dengan pelbagai keadaan dan ragam manusia. Jika kita mengamalkan sikap untuk menghukum tanpa mengetahui apa yang sebenar, layaklah gelaran kera sumbang untuk diberikan. Kita tidak akan dapat menilai dan mengetahui apa yang sebenarnya jika kita hanya melihat kepada diri sendiri, setiap yang kita suka tidak semestinya disukai oleh yang lain. Inilah yang memerlukan kita untuk berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan dan sikap pihak yang lain, menyelami permasalahan dan situasi sebenar, barulah kita akan mengetahui punca sesuatu terjadi.

Maksud firman Allah SWT :

" Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal "
(al-Hujurat : 13)

Bukan sekadar dapat mengetahui lapisan atas permasalahan atau keadaan yang berlaku sahaja, bahkan bersikap meletakkan diri dalam situasi pihak lain juga membekalkan kita dengan pelbagai maklumat tambahan sebagai bonus, lihat saja contoh si lelaki New York tersebut, ia malah bakal memperoleh maklumat tentang sejarah makanan Korea jika di selidiki. Maklumat tambahan sedimikian akan menjadi nilai tambah untuk kita dalam mengenal dan membaca situasi, menyelesaikan permasalahan yang sebelumnya tersimpul, mengelakkan konflik dan sebagainya.

Dalam bersahabat, berjamaah, berorganisasi, tidak dapat tidak untuk kita berusaha meningkatkan kebolehupayaan dalam mengenal dan memahami situasi pihak lain. Jika ini tidak berlaku, pastinya konflik bakal timbul dan akan lahirlah sikap nafsi-nafsi. Melihat hanya diri sendiri yang betul dan hebat, memandang rendah pendapat yang lain, seolah-olah hanya kita yang diberi akal oleh tuhan. Sikap cepat menghukum, seolah-olah kita tahu segalanya tidak lain hanya akan membawa kepada kemudharatan, maka elakkanlah, yang demikian, usahakan apa yang dikatakan " Put Yourself in Other's Shoes "

Satu kisah Rasulullah SAW juga pernah disangka buruk sepertimana yang direkodkan dalam satu hadith sohih, maksudnya :

Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata : " Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah " ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi).

Baginda menjawab : " Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid al-Walid berkata : " Adakah perlu aku memenggal kepalanya " (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad)

Baginda menjawab : " Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat ".

Khalid berkata : " Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas : " Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka "

( HR : Bukhari & Muslim )

Lihat, bagaimana cara Rasulullah SAW, baginda sendiri tidak terus menghukum lelaki itu oleh kerana sifat manusia yang tidak mengetahui apa yang tersembunyi melainkan dengan izin Allah, apatah lagi kita yang biasa-biasa ini. Wallahu'alam...saya undur dulu.

Sumber Dari:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2905
www.iluvislam.com
Oleh: mzulhairi
Editor: cincaugoreng

Kenapa Istighfar?

Kita sering dianjurkan beristighfar dalam menjalani kehidupan seharian kita. Ia dikatakan sunnah Rasulullah kerana Nabi Muhammad sendiri selalu beristighfar.

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: "Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih." (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, dishohehkan oleh Imam Turmidzi)

Kita memandang istighfar sebagai suatu amalan yang perlu dilakukan selepas melakukan dosa, sepertinya selepas sedar dari mengumpat.

Ada juga yang menjadikan istighfar sebagai ayat "melatah". Seperti dalam keadaan terkejut.

Kasihan sungguh kita, selama ini kebanyakan istighfar yang dilafazkan di luar kesedaran kita!.

Bila ditanya pada diri sendiri, mengapa kita perlu istighfar? Maka timbullah jawapan berdasarkan logik akal fikiran.

"Agar tenang", "Agar dosa diampunkan", "Agar hidup diredhai Allah" dan seterusnya...

Tapi adakah kita berpuas hati dengan jawapan berdasarkan logik akal fikiran kita saja? Dalam setiap persoalan, kita hendaklah mendasarkan penilaian kita berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Mari kita bertanya kepada dua bahan rujukan kita iaitu sunnah Rasulullah s.a.w dan ayat Al-Quran.

Istighfar agar memperoleh pengampunan dari Allah s.w.t

dalam surah an-nisa, ayat 110

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Ini adalah asas kepada istighfar, dan setiap muslim sepatutnya memahami fungsi istighfar ini.

Istighfar agar memperoleh perlindungan dari Allah s.w.t

Dari surah Al-Anfar, ayat 33

"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (muhammad) berada dianatara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminda ampun"

dan dari surah Gharfir/Al-Mukmin, ayat 7-10

"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhanny dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berdoa):

"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan periharalah mereka dari azab neraka.

"Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga "Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang soleh diantara nenek moyang mereka, isteri-isteri(dan suami), dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

"Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."

Lihatlah, bagaimana mulianya manusia yang memohon ampun kepada Allah. Sehingga para malaikat mendoakan mereka sedemikian. dan doa para malaikat bukan hanya untuk individu yang memohon ampunan Allah, bahkan untuk nenek moyang (ahli keluarganya yang telah meniggal), pasangannya, dan zuriat mereka (anak, cucu, cicit dan seterusnya).

Istighfar agar mendapat kesenangan dan terlepas dari keadaan risau dan resah.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu 'anhuma, bahwa Rasulullah telah bersabda: "Barangsiapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap kegundah-gulanaannya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka."

(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Mari dengarkan sebuah kisah dari sebuah kitab Tafsir Al-Maraghi hasil tulisan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi. kisah tentang seorang tabi'in (generasi ulama selepas sahabat rasulullah) yang bernama Hasan Al-Basri. Hasan sering didatangi mereka yang bertanya hukum agama dan meminta nasihat atas segala persoalan.

Suatu hari Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab "Istighfarlah kepada Allah swt"

Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"

Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab "Beristighfarlah kepada Allah swt"

Kelakuan Hasan tadi amat menghairankan penduduk sekitarnya. sehingga seorang dari penduduk itu bertanya kepada Hasan "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!"

Maka Hasan menjawab "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah SWT berfirman (seperti itu)".

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah surah an-nuh ayat 10-12 yang bermaksud

"Maka aku (nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, Dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu"

Contohilah Hasan al-Basri kerana sikapnya dan pemikirannya yang sentiasa berdasarkan al-quran dan as-sunnah.

Istighfar sebagai usaha memakbulkan doa.

Firman Allah dalam surah Al-Hud, ayat ke-3

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan ) keutamannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya aku(Muhammad) takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat"

Kali ini, kita bacakan kisah tentang seorang alim yang bernama Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu 'Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.

Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi".

Imam Ahmad bertanya "Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.

Jawab lelaki itu " Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal"

Maka kata Imam Ahmad : " Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu."

(Sumber: majalah Qiblati, indonesia. edisi ke 8)

Besarnya kuasa Allah! Kerana sayangnya Allah kepada si pembuat roti, dibawanya Imam Ahmad kepadanya.

Dalam kisah ini kita juga patut mencontohi akhlak Imam Ahmad. Walaupun beliau mengetahui nama beliau amat terkenal dan dihormati, tetapi beliau tidak membanggakan namanya agar memperoleh pertolongan dari manusia. Beliau tidak mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan. Kerana jika beliau mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan dengan memberitahu namanya dengan mengharapkan balasan, maka khuatir Allah akan membalas dengan memadam segala amalan yang dibanggakan tadi.

"Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian kerana yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala." (HR.Muslim)

Inilah antara kebaikan yang kita perolehi jika kita selau beristighfar kepada Allah. Sekarang kita boleh lebih menghayati lafaz astaghfirullah hal azim dan yang seteru dengannya.

Bagaimana dan apakah lafaz zikir yang digunakan untuk beristighfar? ucapkanlah apa yang kamu inginkan selagi ianya membawa maksud mengharap pengampunan dari Allah swt, kerana istighfar itu sendiri membawa maksud memohon ampunan dari Allah.

Sesungguhnya Allah swt dan Rasulnya juga lebih mengetahui.

Beramallah kita seperti seorang muslim

Sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.